Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan hanya tiga negeri yang dikaitkan dengan penularan COVID-19 dari Kluster Sivagangga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dua kes positif COVID19 yang dikesan di Perak, baru-baru ini bukan daripada kluster berkenaan manakala satu kes di Selangor masih dalam siasatan berhubung kaitan jangkitan.

Beliau berkata, selain Kedah yang membabitkan Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim, Sanglang di Perlis dan Sungai Bakap di Pulau Pinang turut disahkan sebagai kawasan penularan wabak berkenaan.

“Kes di Perak dan Selangor itu, mereka datang kerana masalah influenza like illness (ILI), jadi mereka disaring dan disahkan positif.

“Kita masih meneliti jika kes di Selangor ada kena mengena dengan kluster di Kedah. Tetapi kes di Perak bukan dari kluster itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek pembinaan Klinik Kesihatan (jenis 2) dan Kuarters Batu Berendam, Melaka petang Sabtu.

BACA: COVID-19: 7 kes baharu tidak libatkan Kluster Sivagangga

BACA: Kluster Sivagangga: 4,198 individu telah disaring - Dr Noor Hisham

Mengulas lanjut ujarnya orang ramai yang mempunyai kontak rapat dengan kluster Sivagangga bermula 13 Julai lalu, perlu peka untuk tampil membuat saringan.

Malahan ujarnya, individu yang pernah singgah membeli makanan secara bungkus juga perlu menjalani saringan bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

Terdahulu sehingga tengahari tadi, KKM mengesahkan seramai 4,198 orang sudah disaring membabitkan kluster itu di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang 43 kes dikesan positif, iaitu 31 di Kedah, Perlis (11) serta Pulau Pinang (satu).

Kluster Svagangga dianggap sebagai 'super spreader' kerana cepat menular bermula selepas seorang pemastautin tetap yang juga pemilik restoran nasi kandar di Napoh pulang ke Malaysia dari Sivagangga di India pada 13 Julai lalu.

Saringan COVID-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilakukan terhadap lelaki terbabit pada mulanya negatif.

Dia kemudian diarah menjalani perintah kuarantin di rumah tetapi tidak mematuhi perintah berkenaan sebelum saringan ulangan didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di Kedah.