Golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) perlu membuang perasaan malu, sebaliknya lebih bersifat peka sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

Pengasas Persatuan Untuk Anak Kita, Syed Azmi Al-Habshi berkata, rasa malu yang tidak bertempat akan membuatkan mereka kehilangan banyak kesempatan dan bantuan untuk dinikmati.

Beliau menjelaskan antara lain tujuan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkomunikasi bukanlah untuk mencari publisiti sebaliknya untuk mendapatkan kepastian sama ada inividu itu benar-benar wujud.

"Apa yang saya boleh berkongsi, ada di antara mereka yang datang menceritakan mengenai jiran-jiran mereka yang memerlukan bantuan tetapi malu untuk tampil.

"Apa-apa pun kami sentiasa bersedia untuk berkongsi maklumat mengenai bantuan yang sedia wujud bukan sahaja daripada kami, juga di daerah sekitar," katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, pada Rabu.

Justeru, Syed Azmi memberitahu, rakyat Malaysia dari semua golongan berhak untuk mendapatkan bantuan yang diberikan.

Dalam pada itu, beliau menambah, bagi kumpulan NGO yang mahu menyalurkan sumbangan disaran untuk meletakkan had masa, memilih masa yang sesuai dan menjaga penjarakan sosial seperti yang disarankan oleh kerajaan.

"Saya berharap NGO di lapangan supaya lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan yang bersesuaian," jelasnya.