KUALA LUMPUR:Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menganjurkan program Wilayah Persekutuan Bermunajat.

Antara pengisiannya termasuk solat hajat, zikir dan doa munajat, yang akan diadakan bermula selepas solat Maghrib malam ini.

Menurut JAWI dalam satu kenyataan, program itu akan diadakan serentak di masjid, surau Jumaat dan surau di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dan umat Islam diseru turut serta di kediaman masing-masing.

"Kaedah pelaksanaan program ini adalah dengan memastikan imam yang bertugas di masjid, surau Jumaat dan surau membacakan teks zikir serta doa yang disediakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menggunakan pembesar suara yang jelas didengar.

"Program ini juga boleh diikuti secara langsung di Facebook rasmi JAWI," katanya, hari ini.

JAWI menjelaskan, inisiatif tersebut dibuat susulan situasi terkini penularan wabak COVID-19 dalam negara.

"Marilah kita semua terus bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 dapat segera dibendung, serta negara sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah."