Kerajaan negeri sedang berusaha menjejaki semua jemaah tabligh rakyat Sabah yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, tegas Ketua Menteri , Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, siasatan mendalam juga dilakukan pihaknya bagi mengesan kontak-kontak rapat jemaah tabligh tersebut ekoran kluster tabligh merupakan penyumbang terbesar peningkatan wabak itu di negeri berkenaan.

"Usaha kita untuk mengenalpasti mereka ini sebenarnya siapa, yang sebelum ini ada kontak dia, ada di tempat mana, jadi ini kita kena siasat secara mendalam untuk pastikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai usaha kerajaan mengenalpasti kontak-kontak rapat jemaah tabligh dimaksudkan termasuklah di rumah-rumah tahfiz, ibadat dan lain-lain di negeri ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendedahkan 163 daripada jumlah 169 positif COVID-19 di negeri ini adalah berasal dari kluster dan kontak jemaah tabligh yang menyertai Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menyeru jemaah tabligh yang mungkin mempunyai penglibatan secara langsung atau tidak langsung supaya tampil segera membantu kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 di Sabah.

"Tujuan kita bukan untuk menghukum, ambil tindakan terhadap mereka tetapi untuk membolehkan supaya kita dapat membendung mengawal keadaan ini dari terus merebak," katanya.

Sementara itu, dedah Mohd Shafie, salah seorang individu positif COVID-19 di Sabah dikenal pasti berada di luar kluster tabligh.

"Contohnya kes di Ranau, ianya datang daripada saya ingat Thailand, yang mana mereka membuat lawatan ke Thailand lepas itu dikenal pasti positif dan ada tidak ada hubung kait dengan tabligh," katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini, Polis Kontinjen Sabah mendedahkan lebih 300 daripada 1,000 peserta Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling dari Sabah belum tampil menjalani pemeriksaan saringan COVID-19.