Malaysia bertuah kerana mendapat kerjasama selain kesudian bantuan banyak negara selama tiga bulan berusaha mengawal pandemik COVID-19.

Mantan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin berkata, lebih membanggakan, penerimaan bantuan daripada beberapa negara yang amat dingin hubungan dengan Malaysia sebelum ini.

"Sudah lebih tiga bulan sejak negara mencatatkan kes COVID-19 pertama. Biarpun pada awalnya, Malaysia negara paling terjejas di Asia Tenggara, tetapi sekarang kita disebut-sebut sebagai negara contoh dalam menangani krisis ini.

"Sudah tentu, ia hasil kesungguhan dan kerjasama banyak pihak-petugas kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh rakyat Malaysia.

"Namun, pada masa yang sama, kita mesti ingat, dunia tidak pernah menghadapi krisis wabak sebesar ini. Tiada negara boleh menanganinya sendirian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Kata Zainol Rahim yang juga Mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, hasil sumbangan itu telah mengupayakan barisan hadapan terutama petugas kesihatan dalam memerangi COVID-19.

Bukan itu sahaja tegasnya, penghormatan banyak negara dan usaha berterusan Wisma Putra yang dipimpin oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya memudah cara urusan kepulangan lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara. Gambar Kementerian Luar

Bukan itu sahaja tegasnya, penghormatan banyak negara dan usaha berterusan Wisma Putra yang dipimpin oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya memudah cara urusan kepulangan lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara.

"Kerajaan India misalnya, memberi kebenaran mendarat khas kepada lebih 18 pesawat dari Malaysia untuk bawa keluar lebih 3,000 rakyat kita yang terkandas di sana. Jumlah ini antara yang tertinggi diperolehi satu-satu negara.

"Selain itu, hanya dengan satu surat daripada Hishammuddin kepada rakan sejawatnya, Kerajaan China menyumbang lebih 700,000 peralatan perubatan secara percuma.

"Rakan negara di Timur Tengah, Arab Saudi menerusi perkenan Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sendiri telah menyumbang lebih tujuh juta peralatan perubatan selain Kerajaan UAE yang menyumbang lebih tujuh tan peralatan perubatan," ujarnya.

Katanya lagi, mengaitkan cerita-cerita positif itu dengan politik mungkin agak klise namun pengaruh Hishammuddin yang menyakinkan banyak negara untuk membantu Malaysia tidak boleh dinafikan.

Tambahnya, ini termasuklah bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha membangunkan vaksin serta ubat COVID-19. Antaranya United Kingdom, Australia, Kanada, Bosnia serta berpuluh lagi negara.

"Kerana keakraban, kerjasama ini hanya diperhalusi menerusi lebih 20 perbincangan secara atas talian antara Hishammuddin dengan rakan sejawat beliau.

"Tidak cukup dengan itu, menerusi bantuan Hishammuddin juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan juga dapat dihubungkan dengan Kerajaan UAE untuk bekerjasama dalam usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan serta sektor ekonomi.

"Kementerian Pendidikan juga dapat dihubungkan dengan Kerajaan UK untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan yang akan memanfaatkan para pelajar kita," jelasnya.

Gambar - Kementerian Luar

Dalam tiga bulan ini juga kata Zainol Rahim, Malaysia yang diwakili Hishammuddin dilihat lebih tegas menyatakan pendirian dalam pelbagai persidangan antarabangsa.

"Misalnya semasa Persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN, Hishammuddin menggesa semua negara ASEAN bersatu dalam mendepani landskap baharu dunia susulan COVID-19.

"Malaysia juga tegas menyuarakan bahawa negara di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) perlu yakin dengan keupayaan negara masing-masing dan tidak tunduk kepada kuasa besar. Pendek kata, peranan dan suara Malaysia kembali diperkukuh di peringkat antarabangsa.

"Sebagai rakyat, perkara-perkara ini bukan sahaja menimbulkan rasa bangga tetapi juga menambah keyakinan terhadap keupayaan negara kita sendiri," ujarnya.

Beliau turut berharap, kecemerlangan dalam tempoh 100 hari yang dicapai kerajaan khususnya Wisma Putra di bawah pimpinan Hishammuddin akan berterusan demi memastikan nama Malaysia terus gah di mata dunia.