Kes baharu jangkitan COVID-19 di negara ini kekal dua digit selepas merekodkan sebanyak 14 kes setakat jam 12 tengah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes.

Menurut beliau, daripada 14 kes baharu, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Jelas Dr Noor Hisham, bagi 11 kes penularan di dalam negara pula, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah dalam kalangan warganegara.

Bagi tujuh kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara, perinciannya adalah seperti berikut:

i. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – dua kes: satu kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8455 dan kes ke-8508). Mereka adalah rakan serumah; satu kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8498). Mereka adalah rakan serumah;

ii. Selangor: satu kes kontak rapat kepada kes positif COVID19 (kes ke-8368). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8368;

iii. Sarawak: dua kes saringan di tempat kerja sektor pembinaan;

iv. Sabah: satu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang;

v. Perak: satu kes saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau.

Perincian empat kes penularan COVID-19 dalam negara dalam kalangan warganegara pula adalah seperti berikut:

i. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: dua kes Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. Mereka merupakan kakitangan bertugas di sana;

ii. Sarawak - dua kes: satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching; satu kes saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 127 kes sembuh dan dibenarkan discaj dari hospital pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya sebanyak 8,000 kes atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, tambah beliau, tiada kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini.

Justeru, kes kumulatif kematian kekal sebanyak 121 atau 1.42 peratus daripada jumlah kes keseluruhan, katanya.

Setakat ini, seramai empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.