Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan mengenai pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi penumpang yang transit di Malaysia sebelum ke negara destinasi masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kos bagi ujian saringan itu mesti ditanggung penumpang itu sendiri.

"Keperluan ini bukan sahaja melibatkan KKM, ia juga melibatkan syarikat penerbangan. Jadi polisi syarikat penerbangan contohnya, menetapkan mereka (penumpang) perlu jalani saringan COVID-19 sebelum menaiki pesawat.

"Kalau kita melaksanakan, pasti kita boleh cegah kes positif di kalangan mereka yang menaiki pesawat. Kita kena bincang dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk lihat bagaimana kita dapat laksanakan. Tetapi, ujian itu perlu dibiayai oleh penumpang, bukan kerajaan Malaysia," katanya dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai larangan sementara oleh kerajaan Kemboja terhadap semua penerbangan dari Malaysia dan Indonesia bagi mengekang penularan COVID-19 berkuat kuasa 1 Ogos ini.