Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk memperluas pelaksanaan klinik virtual bagi mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan susulan penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, konsep perkhidmatan kesihatan secara maya itu akan disyorkan diperkenalkan secara berperingkat dan dimulakan di klinik kesihatan yang sesak.

Beliau memberitahu, ini termasuk membuat janji temu dengan pesakit secara berperingkat.

"Kita sedang memperkembangkan konsep virtual ini dalam kalangan pesakit di mana mereka tidak perlu datang ke klinik untuk mendapatkan ubat, kita akan hantar.

"Perkhidmatan ini juga boleh diluaskan kepada pesakit strok serta mereka yang ada kekangan pengangkutan untuk datang ke hospital," katanya pada sidang media di Putrajaya, di sini pada Isnin.

Noor Hisham menjelaskan, KKM juga sedang mempertimbangkan konsep membawa perkhidmatan ke rumah termasuk melawat pesakit.

Kaedah itu katanya, telah diguna pakai untuk perkhidmatan ibu dan bayi.

Pada 2019, terdapat lima klinik virtual perintis iaitu iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor; Klinik Kesihatan Seberang Jaya di Pulau Pinang; Klinik Kesihatan Presint 18 di Putrajaya; Klinik Kesihatan Luyang di Sabah; dan Klinik Kesihatan Tudan di Miri, Sarawak.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, KKM juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan dua syif iaitu syif pagi dan petang di klinik kesihatan bagi mempermudahkan penjarakkan sosial dan mengekang penularan COVID-19.