Memang wujud kes sporadik COVID-19, iaitu tidak diketahui mana asal-usul jangkitan itu, tetapi ia sangat sedikit berbanding jumlah keseluruhan kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan pada Selasa, beliau berkata, jumlah kes sporadik yang dicatatkan adalah sebanyak 69 kes daripada keseluruhan 3,963 kes di negara ini.

“Memang kita ada kes sporadik, setiap hari kita akan buat ujian untuk COVID-19 kes sporadik , dan kalau untuk ILI (Influenza-Like Illness) dan SARI (Severe Acute Respiratory Infection), kita dah laksanakan 8,025 ujian untuk mengesan sama ada kes tersebut ada di lapangan, tetapi yang positif setakat ini ialah 69 kes yang positif, dan negatif sebanyak 7,956.

“Sebanyak 69 sahaja kes sporadik yang mana kita tak tahu kes sporadik ni asal dia asal jangkitan dari mana,” jelasnya lagi.

Menjelaskan lanjut, sebelum ini ada beberapa kes yang pada peringkat awalnya diklasifikasikan sebagai kes sporadik, namun selepas siasatan terperinci dijalankan, pesakit berkenaan mempunyai hubung kait dengan kluster tertentu seperti perhimpunan tabligh Seri Petaling, dan perhimpunan gereja di Kuching, Sarawak.

"Ada kes sporadik, tapi bila lihat sejarah, ada sejarah berkaitan perhimpunan Seri Petaling, ataupun perhimpunan gereja di Kuching dan sebagainya. Itu bukan kes sporadik sebab kita dapat kesan mana asal usul jangkitan ini

"Tapi yang kita tak dapat kesan 69 kes, tak tahu macam mana dia dapat jangkitan tersebut," katanya lagi.

Atas sebab itu, Dr Noor Hisham berkata, amat penting untuk kesemua pesakit yang mempunyai simptom ILI dan SARI, diperiksa dan dirawat sebagai kes COVID-19, sehingga dibuktikan sebaliknya.

Beliau berkata, pihak kementerian sudah mengarahkan agar petugas kesihatan yang berhadapan dengan pesakit mempunyai simptom ILI dan SARI, untuk memakai kelengkapan perlindungan sewajarnya, dan arahan itu termasuk kepada pusat perubatan dan klinik swasta.