PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu membabitkan kes COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 362.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster yang dikenal pasti itu ialah Kluster Jalan Lapan, Kluster Batu Sembilan dan Kluster Nibong.

"Kluster Jalan Lapan melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Cheras, Kepong, Titiwangsa, dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kluster Batu Sembilan pula melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Petaling dan Kuala Selangor di Selangor manakala Kluster Nibong pula dikesan di daerah Johor Bahru di Johor," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lima kluster diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 181.

Katanya, lima kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Sofi, Kluster Penjara Tapah, Kluster Kapor, Kluster Jambu dan Kluster Meldrum.

" Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 181 kluster.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes manakala kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Perigi (153 kes), Kluster Bintang (71 kes) dan Kluster Cergas (66 kes)," jelas beliau lagi.

BACA: COVID-19: 1,212 kes baharu, 3 kematian direkodkan

BACA: Selangor rekod jumlah kes harian tinggi jadi tumpuan sidang media KKM

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini