Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia agar mengamalkan kebersihan diri dan menjaga haiwan peliharaan dengan baik bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebiasaan wabak tersebut dikesan mempunyai kaitan dengan haiwan, selain kajian menunjukkan hanya tujuh koronavirus menjangkiti manusia.

“Jadi daripada koronavirus yang kita tahu seperti SARS, Mers-CoV dan sekarang adalah COVID-19. Jadi, ini penting bahawa kita menyarankan orang ramai supaya cuba mengelak kontak rapat dengan haiwan kerana kemungkinan jika kita mempunyai kontak rapat dengan haiwan, jika haiwan Itu dijangkiti virus dan (jika) virus itu boleh memberi kesan kepada manusia, sebagai contoh koronavirus.

“Jadi, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kita mengambil langkah pelindungan diri, selain mengekalkan tahap kebersihan diri. Jika tidak, kita boleh menjadi mangsa,” katanya pada sidang media harian, di sini pada Isnin.

BACA: Harimau Malaya di New York positif COVID-19



“Saya faham ramai di antara kita yang bertanyakan mengenai isu jangkitan COVID-19 terhadap haiwan peliharaan.

“Jika kita tidak dapat menjauhkan diri daripada haiwan kesayangan kita, pastikan kita dapat menjaga kebersihan setiap masa terutamanya ketika mengadakan kontak dengan haiwan tersebut,” ujarnya.

Malah, orang ramai juga dinasihatkan untuk mencuci tangan sebelum dan selepas memegang haiwan peliharaan mereka.

Justeru itu, beliau juga menyarankan pemilik haiwan peliharaan agar membawa haiwan masing-masing untuk menjalani pemeriksaan di klinik haiwan.

Pada masa sama, beliau berkata KKM juga akan bekerja rapat dengan Jabatan Veterina untuk tindakan dan saranan yang lebih lanjut.


Terdahulu, seekor harimau di Zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat disahkan positif COVID-19.

Menurut zoo tersebut dalam satu kenyataan, harimau Malaya betina bernama Nadia dan berusia 4 tahun, sebelum itu mengalami batuk kering.

Susulan itu, kakak binatang tersebut, Azul, dua harimau Amur dan tiga singa Afrika kini di bawah pemantauan.