Malaysia berkemampuan mencapai angka sifar kes baharu COVID-19 dalam tempoh kurang sebulan lagi, iaitu pada pertengahan Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, sasaran itu bergantung kepada sejauh mana rakyat negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, setakat ini model unjuran yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kepatuhan rakyat negara ini berada pada tahap yang baik.

“Minggu ini kes (di Malaysia) merekodkan dua atau satu angka, dan mungkin dalam tempoh sebulan lagi, kalau kita patuh SOP dan patuh nasihat KKM, mungkin kita boleh capai sifar kes, itu adalah matlamat kita.

"Unjuran kita mengatakan pada pertengahan Julai, (jika) rakyat Malaysia patuh pada SOP, kita boleh mencapai sifar,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham, berkata kementerian ketika ini turut memberi tumpuan kepada warga asing yang berada Malaysia secara sah.

“Kita sudah selesaikan masalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI), sekarang ini kita perlu melihat kepada ‘PADI’ iaitu pendatang asing dengan izin. Kalau mereka juga patuh SOP serta mengambil langkah pencegahan dan menjaga kebersihan (penularan kes COVID-19 boleh dikawal),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM berpandangan bahawa semua sektor di negara ini perlu dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini.

Ujarnya keputusan tersebut tertakluk kepada amalan penjarakan sosial yang disarankan oleh kementerian dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

“Jadi, kalau sekarang ini kita lihat semua perlu dibuka sehingga 31 Ogos dan apa yang penting adalah pemantauan dan kesiapsiagaan kita untuk mengamalkan SOP yang dikeluarkan KKM,” katanya.