Kluster persidangan Kuching mencatatkan kumulatif kes tertinggi COVID-19 di Sarawak setakat ini dengan 163 kes.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kluster Sri Petaling berada di kedudukan kedua dengan 103 kes diikuti kluster Person Under Investigation (PUI) Itali dengan 61 kes.

Seterusnya kluster-kluster kecil mencatat 99 kes, kluster sporadik dengan 29 kes dan 23 kes masih dalam siasatan dan kes baru.

Sementara itu tiada penambahan kes positif terbaharu melibatkan petugas kesihatan Kuching dan kes kekal dengan 50 individu dengan 20 daripadanya merupakan sebahagian daripada kluster persidangan Kuching manakala 30 lagi melibatkan kluster-kluster kecil.

Antara lain 10 kes positif terbaharu dicatatkan menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 478 kes menyaksikan enam kes di Kuching, tiga di Samarahan dan satu di Miri.

Manakala dua kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan telah sembuh dan discaj menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh kepada 150 kes.