Orang ramai diingatkan supaya mengamalkan kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial meskipun semakin banyak kawasan di negara ini bertukar menjadi zon hijau dan kuning.

Ini kerana kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes-kes COVID-19 masih berada dalam kalangan komuniti.

Justeru itu beliau berkata, aktiviti-aktiviti pemantauan dalam kalangan komuniti diteruskan bagi mengesan kes-kes COVID-19.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan tidak kira di mana anda berada.

"Terus amalkan nasihat-nasihat kesihatan seperti yang disarankan KKM," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisham menambah, KKM akan terus memantau perkembangan situasi semasa jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini dan kita akan memastikan langkah pencegahan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," jelasnya.