KUALA LUMPUR:Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan garis panduan baharu selaras dengan kelaziman baharu untuk peperiksaan awam di negara ini.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu telah diguna pakai dalam peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Ogos lalu dan terbukti berkesan.

"Dalam garis panduan itu panduan pentaksiran pusat dan peperiksaan awam telah diperhalusi dengan langkah-langkah yang perlu dipatuhi.

"Kita kawal jangan ada calon yang bergejala atau positif COVID-19 masuk ke dalam dewan dan menyebabkan jangkitan kepada yang lain," katanya dalam temu bual Agenda AWANI di sini, pada Rabu.

Ditanya mengenai status calon yang bacaan suhunya melebihi 37 darjah Celsius, Pkharuddin berkata, mereka masih dibenarkan menduduki peperiksaan melainkan disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun katanya, mereka akan diasingkan daripada calon lain termasuk dirujuk kepada klinik kesihatan atau hospital.

"Daripada dulu lagi kita ada garis panduan, sekiranya pelajar  jatuh sakit termasuk demam, kemalangan dan sebagainya pada saat-saat akhir, kita akan tempatkan mereka di dewan peperiksaan, bilik asing atau dirujuk kepada hospital, klinik kesihatan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga memperhalusi persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berlangsungnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari depan.

Beliau berkata, perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada awal Januari nanti.

"Kami pun bukan bersandarkan 100 peratus dari garis panduan yang kita ada itu, sebab pelbagai kemungkinan boleh berlaku jadi sebenarnya kita sentiasa bekerja dengan KKM dan MKN. Kami akan duduk dengan mereka untuk perhalusi, kita buat beberapa jangkaan.

"Sekiranya jangkaan itu di luar daripada kemampuan, kita akan minta pandangan KKM dan cadangan dari MKN bagaimana keadaannya termasuk membabitkan kawasan merah.

Beliau dalam pada itu, turut mengingatkan semua pihak termasuk petugas, calon dan penjaga agar sentiasa berhati-hati dan mengurangkan pergerakan terutama sebulan sebelum menduduki peperiksaan Februari depan.

Katanya, ia bagi mengurangkan risiko mereka dijangkiti wabak COVID-19 serta tidak menganggu perjalan peperiksaan itu.