Sarawak hari ini melaporkan satu kes jangkitan tempatan terbaharu COVID-19 di Kuching menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kepada 687 kes setakat ini.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadikan Kuching kembali kepada status sebagai zon kuning COVID-19 di negeri itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat melaporkan, kes tersebut melibatkan seorang lelaki warganegara India berusia 26 tahun.

Lelaki berkenaan merupakan seorang nelayan yang bekerja di sebuah syarikat kapal perikanan di Kuching dan telah menjalani saringan swab rT-PCR untuk COVID-19 bagi tujuan pulang ke negara asal di sebuah hospital swasta di Kuching pada 20 Ogos 2020.

“Keputusan ujian makmal mendapati kes adalah positif COVID-19 pada hari sama dan kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” kata JPBN dalam kenyataan media pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mangsa berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala serta diklasifisikan sebagai jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat atau balik ke luar negara sejak tiba di Malaysia pada Julai 2019.

Justeru, JPBN berkata, pengesanan kontak rapat melibatkan rakan-rakan tempat kerja mangsa juga masih dilakukan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Sarawak setakat ini mencatatkan tujuh kluster COVID-19 yang kekal aktif melibatkan 59 kes.

Sementara itu, JPBN Sarawak juga melaporkan tiada pertambahan bagi kes pulih dan discaj di negeri ini dan jumlah kes yang pullih dan discaj kekal 661 kes atau 96.22 peratus.


“Manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal dengan 19 kes atau 2.77 peratus.

“(Sebanyak) 17 kes Person Under Investigation (PUI) baharu turut dilaporkan dan 14 kes masih menunggu ujian makmal,” kata kenyataan itu lagi.