Tiada lagi zon merah COVID-19 di Sarawak selepas Kuching kini diklasifikasikan sebagai zon kuning. Ini berikutan kes baharu yang dicatat di bandar raya itu dalam tempoh 14 hari kurang dari 40 kes.

Selain Kuching, kawasan lain yang berada dalam zon kuning adalah Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu, Bau dan Serian manakala 33 lagi kawasan dikategorikan zon hijau.

Pada sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan tiada kes baharu jangkitan COVID-19 di Sarawak hari ini.

Ia kali kelima sifar kes direkodkan sejak kes pertama pada 13 Mac. Tarikh lain adalah pada 4, 11, 12 dan 14 Mei.

"Pada hari ini terdapat enam kes sembuh dan discaj dari hospital.

"Kesemua enam kes tersebut adalah dari Hospital Umum Sarawak. Daripada jumlah keseluruhan kes, 74.45 peratus kes positif COVID-19 telah sembuh," jelasnya

Laporan terkini kes COVID-19 yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, sehingga hari ini Sarawak secara keseluruhan mencatatkan 544 kes positif COVID-19 dan 121 kes masih dirawat di hospital.

"Manakala bagi kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hanya satu, tiada kes bagi yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Bilangan orang yang disyaki (PUI) ialah 20 manakala PUI yang masih menunggu keputusan ujian adalah 11 kes.

Sarawak sehingga kini mencatatkan 17 kematian akibat COVID-19.