KOMUNITI perubatan di United Kingdom dan Amerika Syarikat mahu kajian dijalankan mengapa kaum minoriti lebih terdedah kepada virus korona mengakibatkan maut akibat COVID-19.

Di UK, angka korban warga bukan kulit putih dari segmen demografi BAME (Blacks, Asians, Minority Ethnics) didapati tidak sepadan dengan jumlah mereka sebagai kaum minoriti.

Walaupun butiran kaum tidak didedahkan dalam data pengumuman kes harian, bukan lagi rahsia kesemua 10 korban pertama COVID-19 UK daripada kalangan doktor, termasuk mereka dari barisan hadapan berketurunan BAME – sama ada berasal-usul Asia, Afrika atau Asia Barat.

Selain doktor, tiga daripada enam jururawat, seorang petugas farmasi dan seorang pembantu perubatan yang meninggal dunia juga kalangan kelompok BAME.

Pertubuhan Perubatan Britain (British Medical Association atau BMA) kini mendapati 35 peratus dari hampir 2,000 pesakit COVID-19 dalam unit rawatan rapi (Intensive Care Unit atau ICU) adalah pesakit bukan kulit putih (non-white).

Menurut Pengerusi BMA Chaand Nagpaul, kelompok demografi BAME memang lebih terkesan menghidap gejala diabetes, sakit jantung dan darah tinggi akibat gaya hidup kurang sihat dan kandungan pemakanan yang kurang berkhasiat.

Data bersama Nagpaul menunjukkan dalam kelompok lima doktor yang maut termasuk pakar perubatan beragama Islam berketurunan Arab Sudan dan Bangladesh berumur antara 55 hingga 79 tahun.

Di Amerika pula, Penasihat Perubatan (Surgeon General) negara Jerome Adams menimbulkan kontroversi apabila menyeru kaum kulit hitam merubah tabiat merokok, ketagih arak dan ambil dadah sebagai pengajaran penting dalam suasana COVID-19 melanda.

Ini ekoran statistik penularan dan kematian melibatkan warga Amerika berkulit hitam dan minoriti etnik begitu tinggi.

Sejumlah 15 peratus penduduk Michigan berkulit hitam atau minoriti etnik tetapi kelompok ini mencatat 40 peratus kematian COVID-19.

Chicago (30 peratus penduduk / 70 peratus kematian) dan Louisiana (32 peratus penduduk / 70 peratus kematian).

Sementara itu, beberapa data tidak rasmi menunjukkan lebih ramai kaum lelaki terdedah kemungkinan maut akibat COVID-19 berbanding kaum wanita.

Fakta penyebab seperti kaum lelaki kurang hati-hati menjaga kesihatan dan lebih cenderung melakukan aktiviti yang membahayakan diri antara alasan yang diketengahkan.