KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan sebanyak 649 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini ialah 30,090 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes import yang menerima jangkitan dari luar negara manakala selebihnya merupakan penularan dalam tempatan.

“Tujuh kes import mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua orang warganegara dan lima lagi bukan warganegara.

“Jumlah kes aktif dengan kobolehjangkitan COVID-19 kini terdapat sebanyak 10,087 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Menurut Dr Noor Hisham, dalam tempoh 24 jam juga, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 352 kes (54.2 peratus) manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula catat pertambahan sebanyak 159 kes baharu.

Beliau berkata jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah sebanyak 106 dan daripada jumlah itu, 23 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, Malaysia juga merekodkan 685  kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 19,757 kes yang bersamaan dengan 65.7 peratus.

Dalam tempoh 24 jam juga, beliau berkata tiada kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 246 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).