Malaysia menghantar pelbagai peralatan perubatan ke Palestin melalui Jordan menggunakan penerbangan khas pesawat Air Asia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bantuan yang diterbangkan semalam itu diberi susulan perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

“Peralatan ini termasuklah 1 juta unit topeng muka; 500,000 unit sarung tangan getah dan 500 unit pelindung muka.

Moga sumbangan dari Malaysia ini sedikit sebanyak membantu rakyat Palestin perangi COVID-19. InsyaAllah,” katanya dalam muat naik status di laman Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM) yang mewakili rakyat Palestin merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan yang diberikan.

“Mewakili rakyat Palestin, kami di PCOM ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Malaysia atas usaha murni itu dan soladariti berterusan kepada Palestin setiap masa.

“Kami juga mengambil peluang ini memuji usaha keras kerajaan Malaysia dan pasukan perubatannya, tentera dan polis yang sedaya upata membendung wabak koronavirus merebak di Malaysia,” memetik kenyataan balas itu.

Dalam pada itu, sejumlah 20 rakyat Malaysia di Jordan dan 345 di Goa, India termasuk pelajar di USM Belgaum (Bangalore) dan MSU-IMS akan dibawa pulang menggunakan pesawat sama yang menghantar peralatan perubatan kepada Palestin.

Pesawat itu akan mengambil rakyat Malaysia di Jordan kemudian ke Goa sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Sumber Facebook HishammuddinH2O