"Kaji selidik Solidariti" yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat COVID-19.

Kaji selidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan dan keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian telah menyegerakan proses pelaksanaan kaji selidik ubat untuk merawat pesakit COVID-19 yang akan bermula tidak lama lagi.

"Sebanyak sembilan buah hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Ying-Ru Lo berkata, pandemik global itu menjejaskan lebih 180 buah negara dan salah satu daripada ubat-ubatan ini adalah harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti COVID-19.

"Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global untuk menentang gelombang pandemik ini.

"Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini," ujarnya.

Penyelidikan ini akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting Soo dengan pasukan yang terdiri daripada 16 Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli farmasi sebagai Penyelidik Bersama di hospital masing-masing.

Dr Noor Hisham dalam pada itu memberi jaminan bahawa kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya," katanya.

Beliau menambah, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kaji selidik WHO di negara ini.