Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri hari ini memberi jaminan Malaysia tidak akan sampai ke tahap ‘perintah berkurung’, walaupun dengan pengenalan prosedur operasi standard baharu (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Dalam sidang media harian mengenai COVID-19 di Putrajaya hari ini, beliau berkata, SOP baharu itu masih lagi tertakluk pada akta yang diguna pakai ketika ini iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi, SOP baharu itu masih sedang dalam peringkat penelitian, dan akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

“Bila saya umumkan SOP baru akan dikeluarkan MKN, kawalan yang dikeluarkan MKN, ramai buat berita palsu mengatakan perintah berkurung, semua kedai ditutup, semua pasar akan ditutup dan sebagainya. Itu saya nak perjelaskan, bahawa berita tentang perintah berkurung, darurat dan sebagainya palsu semata-mata.

“Selagi perintah ini di bawah akta 342 KKM, maka ianya bukan perintah berkurung, tetapi perintah sekatan PKP sahaja, dan ianya dari segi pergerakan sahaja,” katanya lagi.

Sambil memberi jaminan ia bukan perintah berkurung, Ismail Sabri berharap agar rakyat tidak jangan terpengaruh, sehingga melakukan pembelian panik kononnya kedai dan pasar raya akan ditutup sepenuhnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor, adalah ekoran peningkatan kes positif COVID-19 yang mendadak di kawasan itu.

“Kita telah kenakan sekatan sepenuhnya di dua kampung itu, di mana kita meletakkan polis dan tentera untuk kawal pintu masuk.

“Tak ada orang luar boleh masuk, dan tak ada orang kampung boleh keluar. Kedai semua ditutup sepenuhnya, dan pihak RELA , ditugaskan untuk menghantar makanan rumah ke rumah di perkampungan tersebut,” katanya lagi.