Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) menumpukan 60 peratus daripada operasi mereka dengan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi wabak COVID-19.

Presidennya, Datuk Faizal Mohd Perdaus berkata, pihaknya bukan sahaja melihat kepada matlamat untuk menghulurkan bantuan, malah bersiap siaga bekerjasama dengan KKM mengikut kesesuaian.

“Strategi kami adalah menggembleng semua pengalaman dan juga latihan yang kami lalui untuk memberikan fokus kepada beberapa perkara.

“Kami mesti menyokong sistem kesihatan dan perubatan negara kerana ia merupakan asas kesejahteraan negara.

“Menerusi strategi ini, MERCY Malaysia boleh menumpukan 60 peratus daripada operasi kami untuk membantu KKM,” kata Faizal dalam program temu bual Agenda AWANI pada Khamis.


Dalam pada itu, katanya, MERCY Malaysia juga menyalurkan bantuan dalam bentuk peralatan perlindungan diri (PPE), mesin ventilator dan alat perubatan untuk rawatan lain kepada hospital yang memerlukannya.

“Kami sudah memberi bantuan kepada KKM dari awal lagi iaitu dengan menyediakan pasukan sukarelawan untuk membantu mereka.

“Sukarelawan lebih ramai membantu di peringkat kesihatan atau dalam bidang kesihatan untuk menjalankan proses saringan, Person Under Investigation (PUI) dan pengesanan kontak.

“Pasukan kami sudah berbuat demikian di Lembah Klang dan kami juga diminta untuk mengerahkan sukarelawan ke Johor, Terengganu dan Sabah,” katanya.

MERCY Malaysia, KKM tawar khidmat psikososial kepada petugas barisan hadapan

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, MERCY Malaysia dengan kerjasama KKM, menawarkan bantuan psikososial atau sokongan kesihatan mental khususnya kepda petugas barisan hadapan.


“Barisan hadapan memberikan pengorbanan yang begitu banyak sekali iaitu masa, tenaga dan juga perasaan mereka.

“Ramai yang tertekan dan oleh itu, kami bersama-sama KKM mengadakan program di mana barisan hadapan boleh berhubung dengan kami untuk mendapatkan sokongan,” tambah beliau lagi.