Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) komited untuk menyokong usaha penyelidik tempatan bagi mencipta kit ujian pantas saringan COVID-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga hari ini, kit ujian pantas yang dihasilkan dalam negara hanya mempunyai kadar sensitiviti kurang daripada 50 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara itu tidak sesuai untuk digunakan bagi membuat ujian saringan pandemik berkenaan.

"MOSTI sentiasa bersedia menyokong usaha yang dilakukan penyelidik tempatan dan banyak telahpun membantu tetapi akhirnya mesti diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ujian saintifik yang rapi.

"Belum ada yang berjaya, namum jika ada boleh sila kemuka kertas kerja lengkap menerusi e-mail [email protected] untuk kita panjangkan perkara ini," katanya menerusi satu maklumbalas di akaun Twitter peribadinya pada Jumaat.