Penularan jangkitan pandemik COVID-19 sudah mula dikesan merebak dalam kalangan komuniti.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pandemik tersebut tidak lagi hanya dikesan di luar negara selepas kes pertama membabitkan seorang individu di Kuantan dikesan mempunyai kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

“Kes di Kuantan, dia tiada sejarah. Dia ada penyakit SARI bererti tiada sejarah dan ia terus ada penyakit SARI dan kita rawat di ICU (unit Rawatan Rapi) dan selepas menjalani ujian dia disahkan positif COVID-19.

“Namun, apabila apabila kita melihat sejarah, dia ada menghadiri persidangan ataupun perhimpunan Sri Petaling.

“Jadi, sekarang ini kes SARI pun positif. Jadi, bererti virus COVID-19 sudah ada dalam komuniti kita bukan sahaja ada kat luar negara,” katanya dalam sidang media harian, di sini hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham sekali lagi menasihati orang ramai agar terus kekal di rumah dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Katanya, keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini adalah untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.