Gangguan kepada pasaran tenaga dan perubahan tingkah laku yang berterusan akibat krisis penularan COVID-19 mungkin menyebabkan perubahan kekal kepada penggunaan tenaga, kata Moody's Investors Service.

Dalam laporan mendalam terhadap sektor bertajuk 'ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) -Global: Kesan daripada COVID-19 mungkin akan mempercepatkan peralihan tenaga', ia berkata kemelesetan dan jangkaan pertumbuhan jangka panjang yang lemah akan memberi tekanan kepada permintaan korporat dan isi rumah.

Pada masa yang sama, risiko perubahan tingkah laku, bersama dengan peningkatan penggunaan biofuel, kenderaan elektrik dan kecekapan mesin yang bertambah baik, menambah risiko kepada pengurangan permintaan minyak pada masa depan.

"Potensi perubahan struktur dalam permintaan minyak meningkatkan ketidakpastian mengenai harga komoditi pada masa depan, menambahkan risiko untuk projek pengeluaran minyak baharu dengan masa penyiapan yang lebih panjang," katanya.

Ia berkata kesan daripada COVID-19 juga boleh mengehadkan pemulihan dalam penjanaan arang batu, dan boleh mempercepatkan penurunan penggunaan arang batu di Amerika Syarikat dan Eropah untuk beberapa tahun.

"Tenaga boleh diperbaharui membentuk sebahagian besar penambahan kapasiti baru-baru ini, ia akan terus menggantikan penjanaan haba, terutamanya selepas permintaan terhadap tenaga berkurangan," katanya.

Ia berkata dua senario yang dipertimbangkan dalam model laporan itu ialah di mana permintaan minyak bulanan adalah tiga peratus dan lima peratus lebih rendah daripada tahap pada 2019 hingga 2021.

"Senario seterusnya adalah memodelkan potensi pertumbuhan permintaan minyak pada masa depan ketika pemulihan ekonomi berlaku dalam persekitaran perubahan struktur disebabkan oleh trend pengurangan pelepasan karbon dan perubahan tingkah laku," katanya.

Dalam kedua-dua senario tersebut, permintaan tidak kembali sama seperti tahap pada tahun 2019 hingga pada 2025, dengan senario kedua menunjukkan risiko bahawa pemulihan permintaan akan memakan masa lebih lama.

Laporan itu berkata pelaburan penting dalam infrastruktur karbon rendah masih diperlukan untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon daripada tahap pada tahun 2020 dan masih terlalu awal untuk menyatakan bahagian mana dalam pengurangan pelepasan yang berlaku sejak 2019 akan berlanjutan dari semasa ke semasa.

Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan James Leaton berkata permintaan terhadap minyak mungkin memerlukan masa yang lama untuk pulih ke tahap sama seperti pada 2019 kerana gabungan pertumbuhan ekonomi yang lemah, trend pengurangan pelepasan karbon dan perubahan tingkah laku, meningkatkan kemungkinan bahawa permintaan memuncak pada tahun tersebut.

-- BERNAMA