Operasi pengesanan kes aktif COVID-19 yang bermula hari ini di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden, kedua-duanya di Kota Samarahan, melibatkan kira-kira 5,300 buah kediaman, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Operasi secara bersepadu itu melibatkan pengesanan kes aktif kontak rapat kepada kes positif dan menjalankan saringan ujian COVID-19 ke atas penduduk di kedua-dua taman perumahan berkenaan.

"Dalam tempoh 14 hari lepas terdapat 20 kes telah dilaporkan di taman-taman perumahan ini melibatkan dua kematian, sekali gus menunjukkan bahawa virus ini masih menular dalam kawasan itu," katanya pada sidang media harian jawatankuasa itu berhubung COVID-19 pada Isnin.

Menurut beliau, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih agresif dalam memutuskan rantaian penularan virus itu secara lebih berkesan dengan melibatkan 120 petugas Kementerian Kesihatan, anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan (RELA).

Sementara itu, rakyat negeri ini yang baru balik dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan dipasangkan dengan "wristband tag", selain diberikan notis kuarantin di rumah selama 14 hari sekiranya destinasi terakhir mereka di negeri ini adalah di kawasan zon merah atau kuning.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak berkata penerima notis kuarantin ini akan diambil sampel mereka pada hari ketujuh kuarantin dan jika didapati negatif pun, mereka tetap dikehendaki terus menjalani kuarantin berkenaan sehingga cukup 14 hari.

Ini merupakan langkah tambahan bagi membendung penularan penyakit ini khususnya ke 29 daerah yang diklasifikasikan sebagai zon hijau atau tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19 dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari lepas.

"Bagi rakyat Sarawak yang sudah menjalani kuarantin sebelum tiba di negeri ini dan bercadang untuk meneruskan perjalanan mereka ke kawasan zon hijau (negeri ini) sebagai destinasi terakhir, mereka juga perlu dikuarantin lagi selama 14 hari dan diambil sampel pada hari ke-10 dan dibenarkan meneruskan perjalanan mereka ke zon hijau pada hari terakhir kuarantin jika keputusan sampel mereka negatif," katanya.

-- BERNAMA