Semua penduduk yang tinggal di sekitar Bandar Sri Sendayan, di sini diarahkan untuk melakukan saringan ujian kesihatan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Ujian saringan itu bagaimanapun diutamakan bagi mereka yang mempunyai gejala atau kontak rapat dengan pesakit yang disahkan positif.

Menurut Naib Pengerusi Taman Nusari Aman 2B, Muhamad Zaki Md Sabri, saringan itu dilakukan secara berperingkat melibatkan kira-kira 200 penduduk sehari sejak semalam.

“Proses saringan ini dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak semalam selepas mengesahkan kawasan ini merupakan kluster baharu wabak berkenaan.

“Difahamkan sehari sebanyak 200 penduduk datang membuat saringan dan mereka yang datang adalah mempunyai gejala dan kontak rapat dengan pesakit yang disahkan positif COVID-19,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengklasifikasikan kawasan ini sebagai zon merah selepas mengesan satu kluster baharu berikutan terdapat 39 kes positif membabitkan 13 pelajar tahfiz, 15 ahli lembaga pengarah sebuah syarikat dan sebuah keluarga membabitkan 11 individu.

Sementara itu, hasil tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata penduduk mematuhi Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) tahap tiga yang bermula hari ini dan keadaan sekitar masih terkawal.


Kawalan dan pemantaun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperketat manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan tinjauan udara menggunakan dron bagi memantau dan membuat hebahan maklumat terkini berhubung kes terbabit.

Selain itu, hasil pemerhatian juga mendapati operasi pusat perniagaan bagi sektor terpilih yang ada di sekitar kawasan berkenaan turut berjalan seperti biasa.

Untuk rekod, lebih 8,000 penduduk tinggal di kawasan tersebut melibatkan kira-kira 30 kawasan perumahan.