IPOH:Penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir di Batu 8, Sitiawan selama tujuh hari yang sepatutnya berakhir pada Selasa susulan kes jangkitan COVID-19, dilanjutkan seminggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata lanjutan penutupan hingga 26 Okt itu berikutan masih terdapat risiko penularan jangkitan di sekolah berkenaan.

"Setiap sekolah yang terlibat (ada kes positif COVID-19) diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh penutupan daripada tujuh hari kepada 14 hari sekiranya masih mempunyai potensi kepada penularan wabak," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran My Healthy Garden dan #mysalamperak di sini, pada Selasa.

Selain SK Lekir Batu 8, lima lagi sekolah di Perak yang masih ditutup kerana jangkitan COVID-19 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid, Tanjung Piandang dan SK Tanah Kebun di Parit Buntar serta SK Klebang Jaya, SMK Aminuddin Baki dan SMK Dato Haji Mohd Taib di sini.

Sementara itu, enam sekolah yang ditutup tujuh hari sejak 12 Okt lalu iaitu SMK King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SK Convent Kota, SMK Bukit Jana, Kamunting dan SK Taman Jana, Kamunting yang kesemua terletak di Taiping serta SK Ulu Mengkuang di Selama telah dibuka pada Isnin.

Mengulas mengenai program My Healthy Garden, Razman berkata program itu bertujuan mewujudkan satu kawasan kondusif dalam persekitaran sekolah yang ditanami tumbuh-tumbuhan bersesuaian serta dipaparkan pelbagai informasi kebersihan, kesihatan dan keselamatan atau 3K.

Katanya program itu merupakan kerjasama Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan negeri Perak dan kerajaan negeri sejak awal September lepas melibatkan 24 buah sekolah.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi memastikan setiap sekolah dibekalkan dengan set 'Hygrowpot Linktech Type-R 28 (HLT)' yang merupakan kombinasi teknik fertigasi dan hidroponik membabitkan tanaman seperti sayur-sayuran serta tumbuhan herba.

-- BERNAMA