Seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kumpulan tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur bulan lalu dibawa menjalani rawatan ke Hospital Lama Alor Setar, dengan diiringi anggota polis hari ini.

Lelaki berusia sekitar 30-an itu dikatakan tidak pernah menjalani pemeriksaan di mana-mana hospital atau klinik kerajaan selepas pulang dari perhimpunan itu.

Difahamkan, lelaki itu yang tinggal berseorangan di rumahnya selepas pulang dari Kuala Lumpur sejak 1 Mac lalu dikatakan turut menunaikan solat dan bacaan Yasin di masjid sekitar bandar raya Alor Setar.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba di rumah lelaki itu di Jalan Tanjung Bendahara pagi tadi selepas menerima maklumat berhubung kes itu.

BACA: COVID-19: Enggan jalani saringan, Polis Labuan terpaksa guna kekerasan


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin turut menyertai pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan jam 10.30 pagi tadi.

Ketika itu, lelaki terbabit berada di dalam rumah dan memberi kerjasama selepas diarah membuka pintu oleh pasukan polis.

Lelaki itu pada mulanya mendakwa pernah menjalani rawatan di hospital namun gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat doktor.


Susulan itu, lelaki yang menggunakan motosikal itu diiringi dua buah kenderaan polis menuju ke hospital.

Turut serta di lokasi, dua pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Mohd Rozi berkata, pihaknya sedang mengesan mereka yang terbabit dalam kumpulan tabliq di daerah ini dan meminta mereka menjalani pemeriksaan untuk mengelak dari penularan wabak COVID-19.