KUALA LUMPUR : Usaha kerajaan dalam pemberian vaksin terhadap golongan remaja merupakan satu langkah yang tepat apabila melihat kepada trend jangkitan melibatkan golongan itu.

Menurut Pakar Perubatan Dalaman, IMARET COVID-19 Task Force, Dr Nur Asyikin Mohd Yunus, berlaku peningkatan kes positif yang berganda terhadap golongan remaja jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.

“Kita dapat saksikan peningkatan 30 kali ganda jika dibandingkan pada tahun 2020 dan kita dapati 250,000 adalah melibatkan murid-murid sekolah.

“Mengikut data terkini, langkah kerajaan untuk pemberian vaksin terhadap remaja adalah langkah bersesuaian dengan kadar peningkatan kes COVID-19 di negara ketika ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Nur Asyikin berpendapat, isu pemberian vaksin perlu disampaikan dalam bentuk pendekatan yang berbeza bagi memastikan input mengenai perkara itu diterima dengan baik.

Mengambil contoh pendekatan terhadap remaja, beliau menyatakan platform media sosial merupakan alternatif yang terbaik dalam menyampaikan input mengenai vaksin COVID-19.

“Untuk golongan remaja terdapat cabaran berbeza di mana kita perlu yakinkan golongan ibu bapa dan remaja itu sendiri.

“Pegawai kesihatan dan kakitangan sekolah memainkan peranan penting dalam menerangkan kebaikan vaksin agar ibu bapa yakin sekali gus dapat membenarkan anak-anak mereka untuk mengambil vaksin,” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini turut membangunkan portal Vaksin-Anak-Ku bagi memudahkan pendaftaran remaja sekolah dan institusi.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada Isnin dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.