Kementerian Sumber Manusia dijangka mengumumkan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja esok, dalam usaha membendung penularan COVID-19 dalam kalangan warga asing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta tersebut sudah dipinda pada 2019 namun belum dilaksanakan sehingga kini.

“Kerajaan akan membuat pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja yang telah dipinda pada 2019 tapi masih belum dilaksanakan itu.

“(Pindaan) akta ini sangat teliti mengenai perumahan untuk pekerja... misalnya, dari segi keluasan lantai untuk perumahan tersebut dan berapa nisbah jumlah pekerja yang boleh tinggal dalam sesebuah rumah itu.

“Saya difahamkan, esok Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) akan umumkan mengenai perkara ini. Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing,” katanya di sini pada Selasa.