KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan penjara di Zon Utara dan Selangor serta kuarters perumahan penjara terlibat berkuat kuasa hari ini sehingga 4 November depan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil susulan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mendengar pembentangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung situasi penularan COVID-19 di penjara-penjara tersebut.

Ismail Sabri berkata ia melibatkan lima penjara iaitu Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah di zon Utara.

Sementara itu, di Zon Selangor pula, ia melibatkan empat penjara iaitu Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

“Sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di penjara Zon Utara dan Zon Selangor serta kuarters perumahan penjara tersebut berkuatkuasa bermula 22 Oktober 2020 sehingga 4 November 2020.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPD di kesemua penjara dan kuarters penjara ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Antara SOP yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

• Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

• Pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

• Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain.

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan PKPD di beberapa penjara dan pusat tahanan melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai.