KUALA LUMPUR:Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kedua dibuka di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pembukaan PKRC kedua itu bagi menampung kapasiti rawatan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat di situ.

“Disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di WP Labuan sebanyak 317 katil.

“Pusat ini beroperasi sepenuhnya pada 29 Oktober 2020,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, bagi rawatan COVID-19 di Hospital Labuan pula, beliau berkata 20 dariapda 122 katil di hospital itu dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil 'High Dependency Unit' (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak.

BACA: COVID-19: Malaysia catat 649 kes baharu, tiada kematian

BACA: COVID-19: KKM kenal pasti lima kluster baharu

“Baki sebanyak 102 lagi katil Hospital Labuan iaitu termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan COVID-19.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di WP Labuan sebanyak 317 katil. - Facebook/Dr Noor Hisham Abdullah

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, dan agensi lain di WP Labuan termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Tambahnya, tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu berkenaan akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang dihantar untuk membantu di jabatan kesihatan itu.

“Pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program Kawalan COVID-19 di WP Labuan berjalan lancar seperti yang telah dirancang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, WP Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif sejak penularan pandemik tersebut sehingga 26 September.

Bagaimanapun, mulai 27 September lalu sehingga 29 Oktober, ia mencatatkan tambahan kes positif sebanyak 366 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan berjumlah 392 kes.