Ahli Parlimen Subang, Wong Chen hari ini memaklumkan beliau telah mendapat pengesahan bahawa kesemua Ahli Parlimen bukan kerajaan bakal menerima peruntukan RM100,000 sebagai dana bantuan untuk memerangi COVID-19 di kawasan masing-masing.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Wong Chen berkata, beliau mendapat e-mel pengesahan berhubung perkara itu dari Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Berita baik! Kami baru sahaja mendapat pengesahan rasmi dari Pejabat Perdana Menteri pukul 10 pagi ini, sejumlah RM100,000 akan diperuntukkan kepada semua ahli Parlimen pembangkang, kemungkinan untuk memerangi krisis COVID-19.

“Amaun ini adalah untuk kegunaan satu tahun, tetapi saya berhasrat untuk membelanjakan kesemuanya dalam tempoh krisis ini,” katanya lagi.


Dalam pautan gambar e-mel yang disertakan, pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk Selangor, Nurilda Hayati Isnan menyebut, ahli Parlimen berkenaan boleh membuat permohonan projek atau pembangunan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Selangor melalui Sistem Permohonan Peruntukan Khas (eKHAS) pada pautan https://ekhas.icu.gov.my.

Selain itu, pegawai berkenaan turut melampirkan garis panduan projek dan program yang dibenarkan serta tidak dibenarkan, serta garis tatacara penggunaan peruntukan bantuan kebajikan dan bencana.

Dalam pada itu, Wong Chen berkata, beliau akan mengadakan pertemuan melalui aplikasi Zoom untuk menentukan apa yang terbaik bagi dana tersebut.

Selain itu, beliau turut memaklumkan akan ada perjumpaan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin komuniti di kawasan Parlimen Subang untuk mendapat maklum balas dan pandangan mereka.

Sebelum ini, media memetik Wong Chen sebagai berkata, sikap Kerajaan Pakatan Harapan juga menjadi punca mengapa Kerajaan Perikatan Nasional menghentikan peruntukan untuk kesemua Ahli Parlimen dan ADUN.

Beliau berkata, PH sebenarnya mempunyai peluang untuk menghentikan amalan tidak sihat itu, tetapi enggan melakukannya sepanjang 22 bulan mereka memerintah, satu tindakan yang dianggap sebagai membalas dendam terhadap Barisan Nasional.