Keupayaan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri bergantung sepenuhnya kepada kemampuannya menerajui negara dalam pelbagai aspek.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menjelaskan, ia mencakupi skop ekonomi, pendidikan dan kefahaman sesama kaum yang menjadi kunci kepada kekuatan dan ukuran kerajaan PN itu sendiri.

"Cabaran seterusnya adalah memulihkan semula ekonomi negara. Parti-parti yang bergabung untuk membentuk kerajaan pada hari mempunyai matlamat hanya untuk membela rakyat kerana selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka sudah rasa cukup terabai.

"Usaha PN diteruskan bagi menempuh fasa pasca COVID-19 yang dijangka mencabar. Seluruh dunia sedang menumpukan usaha untuk mengembalikan ekonomi negara secepat mungkin.

"Kita juga tidak ketinggalan dengan pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: Bantuan Pakej PRIHATIN masih berterusan, dianjak ke PENJANA

BACA:
COVID-19: Menelusuri dimensi kekuatan sektor pekerjaan di Malaysia

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang akan dianjakkan ke bawah PENJANA untuk tujuan pelaksanaan yang lebih efektif dan demi manfaat kumpulan sasar.

Dalam pada itu jelas Bastien, banyak bantuan dan kaedah mengurangkan beban kewangan diperkenalkan kerajaan selepas ramai yang terkesan akibat pandemik itu.

"Saya lihat banyak kaedah-kaedah bantuan yang diberikan kepada seluruh lapisan masyarakat. Semua kementerian dan agensi terlibat dalam penyediaan rangka pemulihan ini. Tiada sesiapa yang akan tertinggal, baik pengusaha kecil, sederhana dan juga penjawat awam," ujarnya.

Terdahulu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Segamat mengadakan program Ziarah Raya pasca COVID-19.

Mereka menyampaikan bantuan barangan asas serta tunai bagi mengupayakan penerima-penerima untuk kembali menempuh kehidupan selepas lama tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi kerana pandemik tersebut.

Seramai 100 orang penerima bantuan adalah daripada senarai yang diberikan oleh Baitulmal Segamat.

Turut hadir, Kadi Daerah Segamat, Mohd Zaini Mohd Salleh dan Ketua Penyelaras Masjid Daerah Segamat, Rahim Muhd.

Dalam pada itu katanya, rata-rata rakyat berpuas hati dengan cara PN menangani pandemik COVID-19.

"Kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin menitikberatkan soal kebajikan dan keselamatan sepanjang proses menghadapi musuh yang tidak boleh dilihat ini.

"Saya percaya Malaysia juga terlibat dengan usaha untuk mencari vaksin. Pendekatan yang digunakan kerajaan adalah antara yang terbaik dan diiktiraf oleh badan-badan dunia," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setiap rakyat berperanan sebagai ‘petugas barisan hadapan’ bagi mengekang penularan COVID-19 sekali gus memutuskan rantaian pandemik itu di negara ini.

Dalam perkembangan berasingan, Bastien berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjadi Perdana Menteri jika menerima sokongan yang secukupnya.

"Peruntukan Perlembagaan membenarkan sesiapa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Melainkan jika mereka melanggar undang-undang dan disabitkan dengan kesalahan yang menyebabkan hilang kelayakan.

"Ini adalah negara demokrasi. Jika Anwar mempunyai sokongan seperti Muhyidin, beliau juga boleh menjadi Perdana Menteri," tegasnya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, PH akan menamakannya dan bukan Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menerajui pentadbiran negara jika parti itu kembali berkuasa.