Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia termasuk pelajar universiti di Rusia agar kekal di negara itu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu mereka ketika Rusia mengenakan sekatan pergerakan.

"Kerajaan Rusia melaksanakan arahan kawalan pergerakan yang bertujuan mengekang penyebaran virus COVID-19 bermula dari 28 Mac sehingga 12 Mei depan.

"Secara ringkas, antara implikasi utama arahan tersebut ke atas semua warganegara dan pemastautin di Rusia termasuk pelajar dan rakyat Malaysia adalah larangan keluar dari rumah kecuali atas sebab yang dibenarkan.

"Ia juga membabitkan peralihan mod pembelajaran dari sistem kelas atau kuliah ke sistem pengajian jarak jauh atau dalam talian," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan tidak menghalang jika ada rakyat Malaysia yang bercadang untuk keluar dari Rusia dengan tanggungan sendiri.

"Dalam kes sebegini, Wisma Putra akan membantu memudahkan urusan berkenaan termasuk berhubung dengan kerajaan Rusia," katanya.

Beliau berkata, ketika ini seluruh dunia dilanda cabaran yang sangat hebat akibat pandemik COVID-19 dengan setiap lapisan masyarakat perlu mengharungi cabaran masing-masing.

Justeru katanya, rakyat Malaysia di Rusia diharap dapat bertenang dan bertindak rasional serta tidak sekali-kali membuat keputusan berlandaskan maklumat yang tidak sahih di media massa.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Luar telah mengaktifkan pasukan petugas khas COVID-19 di peringkat kedutaan yang membantu rakyat Malaysia meninggalkan Rusia sebelum penutupan sempadan dan pembatalan penerbangan komersial dikuatkuasakan.

Katanya, kumpulan rakyat Malaysia terakhir berjaya terbang keluar pada 31 Mac lalu.

Beiau berkata, selain itu beberapa inisiatif lain turut diambil antaranya:

*Mengaktifkan jaringan perhubungan dengan semua komuniti rakyat Malaysia di Rusia, termasuk komuniti pelajar di Moscow, Crimea, Kazan, Kamchatka, Kursk, Nizhnevartovsk, Nizhny Novgorod, Sabetta, Sakhalin, St. Petersburg, Tomsk, Volgograd.

*Membuat hebahan mengenai isu dan perkara penting yang wajar diberi perhatian oleh semua warga Malaysia di Rusia semasa tempoh kawalan pergerakan.

*Mengadakan sesi bantuan dan perbincangan secara berkala dengan pelajar dan wakil pelajar Malaysia di seluruh Rusia.

*Bekerjasama dengan badan dan wakil pelajar untuk membuat pembelian dan pengedaran topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan kepada kumpulan pelajar yang memerlukan.

*Sentiasa memantau situasi pandemik COVID-19 di Rusia, dengan membuat laporan harian kepada ibu pejabat setiap hari.

*Dalam situasi yang perlu, pihak kedutaan turut berhubung dengan pihak pengurusan universiti atau institusi sekiranya terdapat aduan atau isu melibatkan pelajar Malaysia.

*Bekerjasama dengan badan pelajar dan juga agensi kerajaan tempatan untuk menyelesaikan masalah visa dan permit yang tidak dapat diperbaharui disebabkan kerana arahan kawalan pergerakan.

*Sentiasa berhubung rapat dengan sumber-sumber maklumat dan arahan rasmi kerajaan Rusia termasuk Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Agensi Rospotrebnadzor, Agensi Rosselkhoznadzor, Kementerian Pengangkutan, Pejabat Datuk Bandar Moscow serta pejabat organisasi antarabangsa di Moscow termasuk WHO dan kedutaan lain.