Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM2 juta bagi membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan kepada rakyat negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, ia bagi melindungi rakyat Selangor dari COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga menyedari tempoh PKP dan pandemik ini sendiri telah memberikan kesan terhadap kesihatan mental masyarakat.

“Sehubungan itu, sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan untuk perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif,” katanya.

Dalam usaha lain untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor, Amirudin berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah baik Skim Peduli Sihat.

“Bagi tujuan ini sebanyak RM42.5 juta akan dibelanjakan dan ia akan memberi manfaat kepada 85,000 orang penerima.

“Kerajaan negeri juga amat prihatin dengan pesakit yang positif COVID-19. Untuk tujuan ini sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mereka yang dijangkiti virus ini,” katanya lagi.