Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui TEKUN Nasional menyalurkan RM200 juta ringgit di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Rakyat Prihatan PKS) kepada usahawan mikro yang terjejas perniagaan mereka akibat penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan pada Khamis, memaklumkan TEKUN Nasional mewujudkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) bagi menyalurkan peruntukan itu.

"Seramai 33,000 usahawan mikro disasarkan akan mendapat manfaat daripada skim CBRM ini dengan nilai maksimum pembiayaan ialah sehingga RM10,000.

"Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro ini merupakan pembiayaan suntikan modal pusingan kepada usahawan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada yang terjejas. Usahawan juga tidak dikenakan sebarang caj.

"Skim CBRM ini terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan tempoh bayaran balik maksima sehingga tiga tahun dan usahawan juga akan diberi penangguhan bayaran balik selama enam bulan. Usahawan yang disenarai hitam juga boleh dipertimbangkan permohonan (tertaluk mengikut kes)," katanya.

Usahawan boleh membuat permohonan melalui borang di pautan ini https://tinyurl.com/PermohonanCBRM.

Wan Junaidi berharap, skim CBRM ini dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia.