Arahan kerajaan mewajibkan semua pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19 bertujuan bagi mengelakkan berlaku kluster baharu membabitkan kumpulan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu juga diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selain menjaga kepentingan seluruh rakyat di negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, ujian saringan itu diutamakan bagi sektor pembinaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kita telah keluarkan arahan semalam kerana bimbang akan wujud kluster baharu membabitkan pekerja warga asing sebab dua hari berturut-turut kes jangkitan COVID-19 berlaku peningkatan melibatkan mereka.

"Jadi, kita tutup operasi di tapak bina tersebut selain mengarahkan supaya ujian saringan dibuat agar dapat diasingkan mereka yang positif serta tidak," katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha itu juga dilakukan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan pekerja asing seperti yang berlaku di Singapura.

"Persatuan atau majikan perlu faham tindakan ini adalah untuk kepentingan semua pihak dan jika ada jangkitan COVID-19 melibatkan pekerja, kita terpaksa tutup operasi sama ada kilang ataupun pembinaan," jelasnya.