KOTA MELAKA:Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah di Durian Daun di sini, diarah tutup serta-merta selama seminggu selepas seorang guru yang berkhidmat di sekolah itu disahkan positif COVID-19.

Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad berkata penutupan sekolah selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Jan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

"Kita difahamkan guru tersebut tidak bergejala dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu tersebut juga diminta supaya membuat saringan COVID-19.

"Bagaimanapun, ini merupakan kes terpencil dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tindakan segera telah dilaksanakan," katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Noor Effandi berkata kesemua guru serta 499 pelajar Tingkatan 6 yang merupakan kontak rapat kepada guru itu diarahkan untuk menjalani kuarantin setelah dihubungi Pusat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.

Katanya, kesemua yang terlibat juga diarahkan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa tempoh penutupan sementara sekolah itu.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman turut mengesahkan perkara itu dan kes masih disiasat.

Di Terengganu, Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, ditutup selama 14 hari bermula semalam hingga 5 Feb susulan terdapat lapan kes positif COVID-19 di sekolah tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja membasmi kuman dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.

"Semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi juga mengingatkan orang ramai untuk memberikan maklumat yang benar berkaitan COVID-19 kepada petugas kesihatan terutama mengenai sejarah perjalanan, kontak rapat, tanda dan gejala yang dialami.

Terengganu merekodkan kes positif COVID-19 yang tertinggi semalam iaitu sebanyak 178 kes.

-- BERNAMA