Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap tidak akan berlaku gelombang ketiga penularan COVID-19 di negeri ini.

Bagaimanapun katanya Sarawak sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan zon merah.

"Apa sahaja yang berlaku di zon merah tidak akan dibawa keluar.

"Dengan kata lain kita mahu memutuskan rantaian virus ini," jelas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bekalan ubat-ubatan, Uggah beri jaminan ia mencukupi termasuk untuk keperluan penduduk luar bandar.

Tambahnya setakat ini tiada sebarang aduan dilaporkan mengenai kekurangan bekalan ubat di kawasan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sejauh mana yang saya tahu tidak ada aduan mengenai dari mana-mana klinik ataupun mana-mana hospital yang masalah untuk memesan ubat ubat ataupun menghantar ubat ubat.

"Ini kerana penghantaran ubat-ubat seperti pernghantaran makanan ianya adalah perkhidmatan penting," ujar Uggah.

Menurutnya lagi pihak klinik dan hospital sentiasa memastikan keperluan ini mencukupi untuk setiap daerah.