Sarawak Energy Berhad (SEB) menggalakkan orang ramai menggunakan transaksi atas talian bagi tujuan pembayaran bil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datu Sharbini Suhaili, pihaknya turut menyediakan beberapa platform yang boleh digunakan bagi mengurangkan interaksi secara bersemuka.

"Kami menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perbankan dalam talian. Para pengguna juga boleh menggunakan SEB cares dan kaunter kami masih terbuka dengan kakitangan yang minimum.

"Perkara utama ialah membataskan perjumpaan bersemuka. Jadi jika orang boleh menggunakan mod pembayaran perbankan dalam talian maka saya fikir itu adalah yang terbaik," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Menara SEB sedang menjalani pembersihan dan pembasmian kuman susulan seorang kakitangannya didapati positif covid-19 pada 15 Mac lalu.

Tambah Sharbini, semua kakitangan syarikat itu juga telah dibenarkan mengosongkan pejabat dan bekerja dari rumah.

"Menara SEB sebenarnya sedang dibersihkan dan dibasmi kuman. Ia dijangka mengambil masa beberapa hari sehingga Jumaat tetapi kami mungkin tidak akan kembali ke pejabat sehingga 31 Mac bagi memastikan kita dapat mengatasi masa yang mencabar ini," katanya.