LABUAN:Pasar raya besar Bataras dan dua buah pasar raya iaitu Emporium dan Utama Jaya diarah tutup sementara selama tiga hari mulai hari ini selepas seorang pelanggan yang mengunjungi premis itu disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata penutupan itu perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di premis tersebut.

"Kita perlu bersikap tegas dalam memastikan garis panduan diikuti oleh peniaga...kesejahteraan dankeselamatan orang ramai perlu dilindungi kerana kes COVID-19 di pulau ini meningkat sejak kebelakangan ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut menyarankan pengunjung pasar raya berkenaan dalam beberapahari lepas dan menunjukkan simptom berkaitan COVID-19 supaya segera menjalani ujian saringan diKlinik Kesihatan Membedai, namun bagi mereka yang tidak bergejala tidak perlu berbuat demikian.

Katanya, pekerja di ketiga-tiga premis berkenaan adalah lebih terdedah kepada jangkitan itu dan telah diarahkan supaya menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Labuan telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggubermula hari ini hingga 30 Okt, selepas dua lagi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 14 Okt.

Pulau bebas cukai itu telah mencatat peningkatan kes setiap hari dalam tempoh seminggu dengan 111 kes dicatatkan setakat Jumaat lepas.

Terdapat tiga kluster aktif di pulau bebas cukai berkenaan iaitu Saguking dengan lima kes, BahBangat dan Bah Bundle masing-masing dengan 11 dan sembilan kes.

"Kami sedang mengesan individu yang tidak disaring yang mungkin positif COVID-19, ini adalah tugasyang sukar tetapi ia perlu diselesaikan," kata Dr Ismuni.

Sementara itu, dua buah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah ditutup minggu lepas setelah tiga pelajar dan seorang murid di sekolah tersebut dikesan positif jangkitan virus itu.

-- BERNAMA