SEPANG:Kerajaan telah mengambil pendekatan mengimbangi keperluan melaksanakan perintah agama, dengan keperluan menjaga nyawa, ketika memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) berperingkat sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan terperinci dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang beliau sendiri pengerusikan, dan disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan, dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Perdana Menteri berkata ia merupakan antara contoh bagaimana dua prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara agama dan nyawa dilaksanakan kerajaan dalam usaha melindungi rakyat daripada ancaman COVID-19.

“Kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalankan ibadah yang merupakan sebahagian daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama.

"Namun, prinsip ini diseimbangkan dengan prinsip hifzu al-nafs atau memelihara nyawa.

“Kerana itu, walaupun masjid dan surau telah dibuka dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan, para jemaah mesti mengamalkan norma baharu. Antaranya ialah menjaga jarak antara jemaah.

“Jika kebiasaannya imam menyuruh makmum supaya rapatkan saf, dalam keadaan norma baharu imam meminta makmum supaya jarak-jarakkan saf,” katanya sewaktu merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau yakin melalui persidangan selama tiga hari itu, dapat membantu menghuraikan banyak lagi prinsip Maqasid Syariah dalam konteks norma baharu, khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran kehakiman dan perundangan Islam.

"Prinsip-prinsip ini termasuklah memelihara akal atau hifzu al-aql, memelihara harta atau hifz al-mal dan memelihara keturunan atau hifzu al-nasb.

“Sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk menegakkan Maqasid Syariah walau dalam apa jua keadaan atau cabaran sekalipun,” katanya lagi.