Pekerja asing dalam semua sektor di negara ini diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 bagi memastikan mereka bebas jangkitan virus berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penularan wabak berkenaan dapat diputuskan.

"Kes positif jangkitan virus ini meningkat dua hari berturut-turut dan ia berlaku dalam kalangan pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Ampang, Selangor.

"Jadi, untuk membendung COVID-19 daripada terus merebak, Kementerian Kerja Raya menutup operasi tapak bina itu dan kerajaan bersetuju untuk mewajibkan semua pekerja warga asing di semua sektor sama ada pembinaan, kilang, komersial dan kedai makan untuk membuat saringan kesihatan," katanya dalam sidang media harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semua kos saringan itu perlu ditanggung oleh semua majikan pekerja asing terbabit.

"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan telah memulakan ujian saringan itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.