Kerajaan memberi amaran keras tiada sesiapa yang boleh terlepas sekiranya didapati menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan masyarakat panik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil maklum mengenai insiden penularan video kononnya rakyat Malaysia di Singapura yang balik secara berkumpulan merempuh sekatan pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenal pasti individu berkenaan dan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang.

“Kita lihat viral dalam media sosial, ada seorang individu yang saya kira tidak bertanggungjawab, telah sebarkan berita palsu dengan menular satu video tentang rempuhan di Tambak Johor.

“Seolah-olah rakyat Malaysia balik serentak begitu ramai di sana sehingga berlaku satu keadaan yang panik atau keadaan yang tidak terurus di Tambak Johor.

"Saya dimaklumkan polis telah kenal pasti mereka yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Imigresen Johor Datuk Khairul Dzaimee Daud menjelaskan rakaman video rempuhan itu sebenarnya adalah latihan yang dijalani Jabatan Bomba dan Penyelamat, pada 18 Disember tahun lepas.

Difahamkan, antara yang turut menularkan rakaman video berkenaan semalam adalah seorang ahli parlimen di laman Facebook beliau, namun telah menarik balik catatan berkenaan selepas mendapati ia rakaman video lama.

“Perlu saya ingatkan bahawa tidak ada siapa yang terkecuali dan lebih tinggi daripada undang undang. Sesiapa sahaja tidak akan terlepas begitu saja, walau apa kedudukan sekali pun.

“Saya amat berharap, saya menyeru kepada semua, cukuplah, hentikan penyebaran berita palsu kerana ia tidak membantu rakyat dan kerajaan,” katanya lagi.