Sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Mac ini ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, menerusi satu kenyataan media.

Menurut Ammar, penangguhan itu dibuat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dalam menangani penularan COVID-19 yang dilaksanakan di seluruh negara hingga 31 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, notis larangan memasuki Kompleks Wisma Darul Aman dikeluarkan kepada orang ramai selari dengan usaha kerajaan membendung pandemik yang mencetus kebimbangan kepada masyarakat dunia.

Makluman pada papan kenyataan yang dipamer pada pintu masuk kompleks memudahkan orang ramai yang ingin berurusan agar menghubungi talian tertera untuk maklumat lanjut.

Dinyatakan, tindakan itu selaras dengan arahan penutupan premis kerajaan dan penangguhan operasi perkhidmatan awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan selama dua minggu.