Singapura akan mengenakan sekatan kemasukan terhadap semua pelawat yang mempunyai sejarah mengunjungi Itali, Perancis, Sepanyol dan Jerman dalam tempoh 14 hari lepas.

Pelawat yang terbabit tidak akan dibenarkan masuk atau transit menerusi Singapura mulai jam 11.59 malam, Ahad ini.

Perintah sekatan sempadan itu diumumkan pada Jumaat oleh Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian republik itu mengenai COVID-19 sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga bertujuan memperlahankan penularan virus COVID-19 di republik ini.

Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama pasukan petugas itu, berkata sehingga Khamis, hampir 25 peratus daripada semua kes COVID-19 di Singapura adalah diimport.

Sehingga Khamis, jumlah yang dilaporkan ialah 187 kes positif di pulau ini.

"Sejak 10 hari lepas, sebanyak 23 kes import atau hampir sepertiga daripada semua kes baharu dicatatkan. Ini termasuk 13 kes sejarah melawat negara-negara Eropah dan enam kes dari Indonesia," katanya pada sidang media pasukan petugas itu di sini, pada Jumaat.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong dan Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan, Prof Madya Kenneth Mak.

Pasukan petugas itu menyatakan sekatan sempadan itu bersifat sementara dan akan sentiasa dikaji semula berdasarkan situasi global.

Dengan penguatkuasaan itu, pasukan petugas berkenaan juga mengumumkan bahawa Singapura akan menghalang semua kapal persiaran yang ingin berlabuh di pulau ini.

Menurut Wong, kerajaan Singapura membuat keputusan untuk melarang kapal persiaran berlabuh kerana tindakan itu penting berdasarkan bukti dan data yang diperoleh.

Pada 9 Mac, Pihak Berkuasa Marin dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan sejak dua minggu lepas, Singapura telah mengendalikan lebih 10 kapal persiaran yang berlabuh dan menurunkan lebih 5,000 penumpang.

Terbaharu ialah Costa Fortuna berpangkalan di Singapura yang menyaksikan pihak berkuasa di sini mengambil masa 14 jam untuk mengeluarkan 1,631 penumpang kapal bagi meninggalkan kapal persiaran Itali itu.

Sementara itu, pasukan petugas itu menasihati rakyat Singapura agar mengambil langkah berjaga-jaga apabila melawat semua negara yang terjejas dengan COVID-19 terutama mereka yang terbabit dalam kes eksport, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Filipina malah United Kingdom.-BERNAMA