Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memastikan elemen penjarakan sosial kekal menjadi amalan sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, dan sekolah kembali dibuka.

IDEAS dalam laporannya bertajuk “Pendidikan Ketika COVID-19”, berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan risiko pelajar untuk terdedah kepada jangkitan wabak di masa akan datang, dapat diminimakan.

Pengurus Penyelidikan IDEAS Ya Shin Wan dalam laporan itu berkata, berdasarkan Statistik Pendidikan Malaysia, kelas di sekolah secara puratanya menempatkan 27 murid sekolah rendah, dan 26 murid sekolah menengah.

“Ini membawa maksud, pengajaran dan pembelajaran (PnP) dalam kelas adalah satu perhimpunan kecil, dan penjarakan sosial sangat perlu bagi memastikan keselamatan di semua sekolah,” katanya lagi.

Selain penjarakan sosial, Shin Wan berkata, pengurusan sekolah perlu memastikan tahap kebersihan murid-murid berada pada paras optimum, termasuk menyediakan kemudahan sabun dan pencuci tangan untuk mereka.

“Berdasarkan artikel McInerney, sebanyak 37 peratus dari 6,000 guru di United Kingdom yang mengambil bahagian dalam sebuah kajian menyatakan, tiada sabun dan air panas untuk pelajar mereka mencuci tangan.

“Kebersihan dan sanitasi diri amat penting. Penyediaan sabun dan sanitasi, termasuk kebersihan sinki dan tandas penting bagi melindungi murid-murid dari kemungkinan dijangkiti virus sewaktu di sekolah,” katanya lagi.

Shin Wan berkata, tempoh penularan wabak COVID-19 ini merupakan waktu yang terbaik untuk mendidik pelajar mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri.

Selain itu, katanya lagi, pihak pengurusan sekolah juga boleh memulakan sistem pemantauan dan pencegahan sebagai garis panduan kepada tenaga pengajar di sekolah masing-masing.

“Kaedah mengambil suhu dan memastikan pelajar kerap membasuh tangan dilihat sebagai sesuatu yang praktikal. Selain itu, penjarakan sosial dan amalan memakai topeng juga perlu antara yang perlu dikaji,” katanya lagi.

Shin Wan berkata, pelan tindakan krisis perlu diformulasikan bagi memastikan sistem pendidikan dapat bertindak dengan lebih efektif sekiranya berlaku lagi kecemasan atau krisis di masa hadapan.

“Persediaan dari segi pendigitalan perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya platform sedia ada dapat dimaksimakan bagi penggunaan PnP sekiranya gelombang pandemik baharu melanda negara di masa akan datang,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap kawasan pendalaman yang sehingga hari ini masih tiada akses terhadap bekalan elektrik.

Tanpa bekalan elektrik yang mencukupi, Shin Wan berkata, amat sukar untuk pelajar di kawasan luar bandar dan pendalaman mendapat faedah dari sebarang PnP dalam talian.